mutakhir

Polis tembak bila terancam

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS hanya melepaskan tembakan untuk melindungi diri atau keselamatan diri mereka jika merasa terancam ketika operasi dijalankan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin ketika mengulas tiga kes tembak di Selangor bulan ini berkata, tindakan itu diambil selepas suspek mengancam keselamatan polis.

“Bila suspek melepaskan tembakan, kami (polis) bertindak melepaskan tembakan untuk pertahankan diri.

“Jika boleh kami juga mahu tangkap suspek hidup-hidup, kerana lebih banyak maklumat dapat diperoleh selain banyak kes dapat diselesaikan,” katanya sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di Serdang, hari ini.

Bulan ini, polis menembak mati lapan individu masing-masing di Batu Arang di Rawang, Cyberjaya dan Puchong kerana disyaki suspek kes samun serta pemerdagangan manusia.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap operasi yang dijalankan mengikut SOP (Prosedur Operasi Standard) ditetapkan.

“Sekiranya ada pegawai yang tidak mematuhi SOP, polis sendiri akan ambil tindakan terhadap mereka.

“Jika polis lepaskan tembakan untuk pertahankan diri, jangan salahkan mereka,” katanya.

Noor Azam berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi bagi memastikan keselamatan dan keamanan di negeri terjamin.

Mengulas insiden gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu, beliau berkata lebih 70 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Polis masih tunggu laporan daripada agensi berkaitan berhubung kes ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 5:07pm
d