mutakhir

Tak takut ke mencuri di Rumah Allah?

Oleh Norizuan Shamsuddin

“DALAM tempoh seminggu sahaja, dua kali duit tabung masjid dicuri. Masih ada yang mencuri walaupun kita sudah sediakan Gerabak Rezeki bagi membantu individu memerlukan,” kata Timbalan Pengerusi Masjid Lama Sungai Rengas, Adnan Jalil, berhubung kes curi di masjid berkenaan yang tular di media sosial sejak semalam.

Menurut Adnan, kejadian pertama berlaku apabila seorang lelaki berusia 50-an dikesan mengait duit menggunakan dawai di tabung masjid, kira-kira jam 12 tengah hari, 17 September lalu.

“Selang seminggu kemudian iaitu kelmarin (Isnin), sekali lagi duit tabung dicuri tetapi dilakukan individu lain dengan kedua-dua kejadian berlaku ketika waktu tengah hari dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV).

“Kejadian disedari selepas pihak pengurusan masjid melakukan pemeriksaan pada rakaman CCTV tetapi kita tidak pasti jumlah wang diambil,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan di Kuala Terengganu, hari ini.

Adnan berkata, pihaknya belum membuat laporan polis berhubung kejadian itu kerana perlu berbincang dengan semua jawatankuasa masjid sebelum mengambil sebarang tindakan.

Katanya, pihaknya sedang mengenal pasti identiti dua individu terbabit yang dipercayai bukan penduduk setempat.

“Kita juga sedang mengenal pasti sama ada mereka melakukan perbuatan itu kerana dihimpit kemiskinan atau sebaliknya.

“Sekiranya mereka betul-betul terdesak dan memerlukan wang antaranya untuk digunakan membeli makanan atau ubat untuk keluarga dan sebagainya, kita akan ikhtiar untuk bantu tetapi jika sebaliknya, kita akan melaporkan perkara ini kepada polis,” katanya.

Tambahnya, dua individu terbabit tidak sepatutnya mencuri kerana Gerabak Rezeki mengandungi barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan sebagainya disediakan bagi membantu mereka yang memerlukan.

“Barangan yang ada boleh diambil pada bila-bila masa dan sekiranya betul-betul terdesak seperti tiada duit untuk beli susu anak atau sebagainya, mereka boleh maklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan masjid.

“Kami akan berusaha membantu mereka dan bukannya dengan mencuri,” katanya.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 5:36pm
d