mutakhir

Jerebu boleh datang balik jika...

Oleh Mohd Hilmie Hussin

JEREBU boleh melanda negara sekali lagi, sekiranya insiden kebakaran hutan berterusan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata, asap yang berpunca dari negara jiran boleh kembali sekiranya angin datang dari arah barat daya.

“Ketika ini musim peralihan monsun, angin belum stabil. Jadi ada kemungkinan angin bertiup dari barat daya dan boleh membawa jerebu, sekiranya masih ada kebakaran,” kata Jailan ketika dihubungi, hari ini.

Begitupun, beliau berkata, keadaan berjerebu hanya akan singgah seketika dan tidak mungkin jerebu teruk melanda negara.

Beliau berkata, keadaan berjerebu ini hanya akan pulih sepenuhnya sebaik monsun timur laut bermula pada awal November depan.

Sementara itu, situasi di seluruh negara hampir pulih sepenuhnya apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di paras sederhana dan tidak sihat.

Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), hanya bacaan di Johan Setia Klang, Selangor menunjukkan bacaan tidak sihat sepanjang hari ini dan sehingga 5 petang tadi, lokasi terbabit mencatatkan bacaan 141, semakin pulih berbanding bacaan tertinggi 153 pada 8 pagi tadi.

Sementara itu, hanya Keningau, Sabah berada di tahap baik apabila bacaan dicatatkan pada nilai 48.

Lagi berita berkaitan Ancaman Jerebu

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 5:53pm
d