mutakhir

Tiada kes polio dikesan di negara kita [METROTV]

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan memandang serius kejadian wabak polio membabitkan dua kanak-kanak di Filipina sebagaimana dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 19 dan 20 September lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes polio terakhir di Malaysia dikesan pada 1992 sebelum negara diisytiharkan bebas wabak itu pada 2000.

Beliau berkata, kejayaan pembasmian penyakit itu berikutan pencegahan melalui vaksin polio diperkenalkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1972 dan diteruskan sehingga ke hari ini.

“Liputan imunisasi untuk vaksin polio dos ketiga dari 2014 hingga 2018 adalah di antara 96.7–99 peratus.

“Bagi menghindar dan mencegah penyakit polio daripada berlaku, liputan imunisasi menggunakan vaksin polio harus sentiasa melebihi 95 peratus.

“Penyakit polio adalah penyakit wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Bagi memastikan Malaysia terus bebas daripada penyakit polio, pemantauan gejala penyakit menyerupai gejala penyakit polio iaitu Acute Flaccid Paralysis (AFP) dijalankan kepada kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun di semua fasiliti kesihatan di Malaysia. Sekiranya terdapat kes AFP dilaporkan, siasatan lengkap akan dijalankan,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, kementerian turut menjalankan pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui pensampelan air kumbahan di beberapa loji rawatan air kumbahan terpilih sejak 2012 dan sehingga kini, tiada virus polio boleh menyebabkan penyakit polio dikesan.

Menurutnya, penyakit polio adalah penyakit berjangkit boleh menyebabkan kelumpuhan kekal dan ia boleh dicegah melalui pemberian imunisasi.

“Di bawah Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, vaksin polio sebanyak empat dos diberikan secara kombinasi bersama vaksin Difteria, Pertussis, Tetanus dan Haemophilus Influenza B kepada kanak-kanak berumur 2, 3, 5 dan 18 bulan.

“Bagi mengekalkan negara terus bebas daripada penyakit polio, kementerian melalui semua Pejabat Kesihatan Daerah dan fasiliti kesihatan melaksanakan pelbagai aktiviti termasuk memastikan liputan imunisasi melebihi 95 peratus, memperluas sampel persekitaran dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan imunisasi,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa supaya memastikan anak masing-masing mendapat imunisasi polio lengkap dan sentiasa amalkan kebersihan diri dan kebersihan persekitaran.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 7:29pm
d