mutakhir

Kepala koyak 10 sentimeter akibat air [METROTV]

Oleh Nur Saliawati Salberi

ANGKARA tidak puas hati ketika agihan air, seorang lelaki warga emas menerima 50 jahitan di kepala selepas terkoyak lebih 10 sentimeter kerana terhantuk di pagar batu.

Kejadian malang kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi dipercayai berlaku akibat ditolak seorang individu ketika berlaku perselisihan faham.

Menurut Mahat Jantan, 62, kejadian bermula apabila seorang lelaki yang juga Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dikatakan bertindak mengarahkan lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) yang sedang menghantar bekalan kepada kira-kira sembilan keluarga di Kampung Tanah Merah, Tanjung Kling untuk beredar ke lokasi lain sedangkan penduduk belum selesai mengambil air.

Katanya, sepatutnya jadual penghantaran air ke lokasi itu dijadualkan antara jam 9 malam hingga 12 tengah malam tetapi berlaku kelewatan dan lori tangki hanya tiba kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Dakwanya, dia yang ketika itu sedang berehat di kerusi hadapan rumah jirannya selepas mengangkat bekalan air tidak berpuas hati selepas lelaki terbabit datang dan bertindak memarahi penduduk kerana mengambil air terlalu lama sedangkan lori tangki baru tiba kira-kira 15 minit.

“Tindakan ini tidak sepatutnya berlaku dan saya menghampirinya untuk menasihatkannya.

“Sebagai orang memegang jawatankuasa MPKK, dia tidak boleh bertindak begitu.

“Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang sebelum berlaku tolak menolak sebelum saya terjatuh ke belakang hingga menyebabkan kepala terhantuk di pagar rumah jiran,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya, petang ini.

Menurut Mahat, akibat kecederaan itu, dia dikejarkan ke Hospital Melaka bagi menerima rawatan lanjut sebelum dibenarkan pulang selepas keadaannya stabil.

“Susulan insiden ini, saya membuat laporan polis Balai Polis Tanjung Kling,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan daripada kedua-dua pihak dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 7:39pm
d