mutakhir

Sayu dengar tangisan kanak-kanak

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SEBAIK kemalangan berlaku, suasana ketika itu senyap seketika sebelum terdengar kanak-kanak menangis dari dalam kereta.

“Orang ramai yang melalui kawasan itu membantu mengeluarkan seorang demi seorang kanak-kanak dan ibunya manakala pemandu kereta itu sudah kaku dan mungkin sudah meninggal dunia,” kata Zainal Othman, 45.

Zainal berkata, ketika kejadian dia menunggang motosikal seorang diri sebelum singgah di kedai makan tidak jauh dari kawasan itu sebelum terdengar dentuman kuat pada 4.30 petang.

Dalam kemalangan itu, anggota polis, Konstabel Khairul Izat Romli, 34, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri dan dua anaknya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat kecederaan yang dialami.

Kemalangan di Jalan Gunung Keriang, Alor Setar itu menyaksikan kereta Proton Wira dipandu mangsa bertembung dengan lori sebelum terbabas ke dalam sungai.

“Perasaan sayu ketika itu apabila seorang daripada kanak-kanak itu menjerit kesakitan sambil memanggil bapanya.

“Mungkin dia tak tahu bapanya sudah meninggal dunia dan tidak lama kemudian pasukan bomba dan polis datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan pemandu kereta itu yang dipercayai tersepit selepas Proton Wira itu berjaya dikeluarkan dari sungai dengan menggunakan kren.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun dari Jalan Gunung Keriang menghala ke arah Sungai Korok, Jitra cuba mengelak sebuah kenderaan di hadapan lorinya yang membrek secara mengejut.

“Berikutan itu, pemandu lori itu mengelak ke kanan lalu bertembung dengan kereta dipandu anggota polis berkenaan yang datang dari arah bertentangan.

“Akibatnya, kedua-dua kenderaan itu terjunam ke dalam tali air berhampiran tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Rozi berkata, hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan setakat ini pihaknya masih mengesan saksi kemalangan itu untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan

'Polis maut kereta terbabas masuk sungai [METROTV]'

Disiarkan pada: September 25, 2019 @ 10:28pm
d