mutakhir

Rumah bagai 'digoncang'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

“SAYA rasa rumah seperti bergoncang sebelum terlihat angin puting beliung yang semakin menghampiri rumah dan terus berdoa agar diselamatkan daripada sebarang musibah,” kata Putih Long, 87.

Warga emas itu berkongsi detik cemas bagaimana sebahagian atap genting dan kayu bumbung rumahnya di Kampung Lapan, Tengkera, Melaka, diterbangkan ribut yang melanda kampung berkenaan petang semalam.

Menurutnya, ketika kejadian dia sedang duduk berehat di ruang tamu rumah sambil ditemani anak lelaki berusia 61 tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).

“Kira-kira 2.30 petang, hujan mulai lebat diikuti dengan ribut dan selepas 20 minit rumah terasa seperti digoncang kerana dilanda ribut puting beliung.

“Waktu itu, saya terus berdoa agar rumah selamat daripada malapetaka kerana sudah terdengar bunyi bising yang berterusan selama kira-kira lima minit di luar rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, malam tadi.

Menurut Putih, dia hanya menyedari sebahagian atap genting dan kayu penyokong bumbung rumahnya musnah diterbangkan ribut sebaik sahaja diberitahu jiran.

“Selang beberapa minit kemudian, siling rumah mulai bocor kerana bumbung yang sudah rosak menyebabkan air hujan memasuki ruang tamu, dapur dan sebahagian bilik tidur.

“Mujurlah, ada jiran yang membantu selain anak, Normala Ahmad, 61, yang ketika itu kebetulan dalam perjalanan balik ke Melaka dari Sungai Buloh untuk melawat saya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong yang segera turun padang sebaik sahaja mendapat berita itu malam tadi berkata, dia bersyukur kerana bencana itu tidak membabitkan kecederaan atau kehilangan nyawa penduduk.

Beliau yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah Melaka berkata, hanya lima daripada lebih 100 buah rumah di kampung berkenaan rosak mengakibatkan kerugian dianggarkan RM10,000.

“Saya sudah minta pihak kontraktor segera membaiki kerosakan semua rumah terjejas mulai esok (hari ini) membabitkan peruntukkan kira-kira RM10,000 dan dijangka siap dalam tempoh tiga hari.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga turut menyampaikan bantuan bencana dan bersyukur kerana tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dalam insiden ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 8:41am
d