mutakhir

Polis maut digilis lori

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

ANGGOTA polis maut akibat motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas selepas melanggar binatang sebelum mangsa digilis sebuah lori yang belum dikenal pasti di Kilometer 50.3 Jalan Gerik - Kuala Kangsar dekat Padang Grus, Gerik, malam tadi.

Dalam kejadian 9.50 malam itu, Koperal Mohd Rafizu Che Hasli, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kuala Kangsar ke Balai Polis Selat Pagar untuk bertugas.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa melanggar babi hutan yang melintas secara tiba-tiba mengakibatkannya tercampak di atas jalan.

“Pada masa sama, sebuah kenderaan dipercayai lori terlanggar dan menggilis mangsa menyebabkannya meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Bagaimanapun kenderaan itu meninggalkan tempat kejadian. Jenis serta pemandunya belum dikenal pasti dan gagal dikesan sehingga kini.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Ismail berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemandu lori berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan lurus dua hala, gelap dan tidak berlampu, manakala mangsa memakai topi keledar ketika kejadian.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 10:24am
d