mutakhir

Pencuri silap besar

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

TINDAKAN seorang lelaki berlari memasuki sebuah pasar raya di Selayang selepas mencuri beg pinggang dari van yang diparkirkan di tempat letak kenderaan pasar raya itu menerima padah ditahan pengawal keselamatan, kelmarin.

Dalam kejadian 11.36 pagi itu, suspek berjaya ditahan pengawal keselamatan selepas mengejarnya.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, sebelum itu mangsa yang berusia 53 tahun meletakkan van jenis Toyota di tempat letak kenderaan di pasar raya itu dalam keadaan tidak berkunci dan tingkap terbuka.

Katanya, selepas urusan jual beli sayur, mangsa mendapati beg pinggang di vannya tiada dan mengesyaki ia dicuri.

“Sejurus itu, pengawal keselamatan terbabit memaklumkan dia sudah menahan suspek di dalam pasar raya berkenaan.

“Menurut mangsa di dalam beg itu hanya terdapat resit pembelian dan duit syiling lebih kurang RM20,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Samsor berkata, suspek yang berasal dari Sabah itu ditahan reman selama empat hari sehingga esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama ,” katanya.

Terdahulu, video kejadian yang berdurasi satu minit 58 saat berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya itu sebelum tular di laman sosial.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 11:07am
d