mutakhir

Mung ambik ayam, mung kata baja...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

WARGA emas terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM600 selepas 40 ekor ayam organik miliknya lesap dicuri dalam kejadian di Chabang Tiga di Kuala Terengganu kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika lelaki berusia 71 tahun itu ke reban ayamnya yang terletak berhampiran rumah.

Menurut sumber, mangsa kemudiannya terserempak dengan seorang lelaki yang membawa guni menuju ke sebuah kereta Perodua Myvi yang berada di tempat kejadian.

Katanya, mangsa kemudian bertanya kepada suspek mengenai isi kandungan guni itu sebelum suspek memaklumkannya berisi baja.

“Bagaimanapun, mangsa dikatakan sempat memegang guni dan mendapati ia adalah ayam sebelum suspek segera melarikan diri.

“Mangsa segera membuat pemeriksaan di reban dan mendapati sebanyak 40 ekor ayam organiknya hilang dipercayai dilarikan suspek,” katanya.

Sumber berkata, mangsa turut mendakwa ayam ternakannya pernah hilang beberapa kali sebelum ini.

Menurutnya, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Chabang Tiga, polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah di Manir pada 12.30 tengah malam tadi bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret/Sesyen Kuala Terengganu Roszita Md Saad membenarkan seorang buruh direman selama empat hari sehingga Ahad depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 5:00pm
d