mutakhir

Mayat hanyut dalam sungai

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PENTERNAK ikan sangkar di Sungai Pahang gempar selepas menjumpai mayat lelaki dewasa yang hanyut di sungai dekat Kampung Buntut Pulau, Temerloh hari ini.

Mangsa ditemui 9.30 pagi oleh penternak ikan sangkar yang memberi makan ikan peliharaannya sebelum melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, anggotanya yang tiba di lokasi menemui mayat terapung di tengah Sungai Pahang dan dipercayai meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Ketika ditemui mayat dalam keadaan kembung, pemeriksaan luaran tubuh mangsa mendapati tiada kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

“Siasatan awal kita mendapati mangsa beralamat di Kampung Tebal di sini. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca kematian sama ada disebabkan lemas atau ada punca lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zundin berkata, mayat dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 5:07pm
d