mutakhir

Tak sempat bercuti, polis mati dilanggar lari [METROTV]

Oleh Farah Suhaidah Othman

HASRAT seorang anggota polis bercuti untuk membeli persiapan majlis perkahwinannya Februari depan, tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan di Hala Pegoh 11, Desa Pakatan, Ipoh, hari ini.

Konstabel Mohamad Riezal Izani Shakri, 25, yang bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Buntong, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangi dirempuh kereta pada 12.32 tengah hari.

Rakannya yang bertugas di balai sama, Konstabel Muhammad Qaiyuum Aris Fadzilah, 25 berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah malam tadi di tempat kerja.

Menurutnya, dia bersama arwah dan rakan sekerja sempat bergurau mengenai kenaikan pangkatnya kepada Lans Koperal selepas tiga tahun berkhidmat dalam pasukan.

“Sempat kami bergurau sesama kami... kalau naik pangkat, kami perlu biasakan diri dengan panggilan ‘incas’.

“Itulah kali terakhir kami berjumpa, malah Allahyarham memaklumkan akan bercuti seminggu bermula esok dan pulang ke kampung.

“Dia beritahu akan bersama tunangnya membeli persiapan untuk majlis perkahwinan mereka Februari tahun hadapan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, hari ini.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke kampung halamannya di Kampung Kalai, Jeli, Kelantan dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kalai selepas solat Isyak malam ini.

Sementara itu, Koperal Azmi Mahmud, 49, berkata dia mengenali Allahyarham sejak tiga tahun lalu ketika Mohamad Rizal ditukarkan ke balai berkenaan.

“Dulu dia bertugas di balai, jadi perwatakan dia yang tidak pernah berkira masa, saya ambil dia masuk dalam unit saya sejak dua bulan lalu.

“Kali terakhir saya menemui arwah pada jam 2 pagi tadi selepas tamat penugasan dan dia sempat bertanya kepada saya jam berapa kita akan memulakan tugas esok (hari ini).

“Saya kata macam biasalah jam 1 (tengah hari) dan itu kali terakhir kami berbual sebelum menerima panggilan telefon mengenai kejadian menimpa arwah tengah hari tadi,” katanya sebak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohd Nordin Abdullah ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Jalan Pegoh Seberang menghala ke Jalan Hala Pegoh 11 sebelum dirempuh kenderaan yang tidak dikenal pasti.

Bagaimanapun, susulan kejadian itu polis berjaya mengesan pemandu dan kenderaan jenis Toyota Camry, kira-kira tiga jam selepas kejadian.

“Pemandu kereta adalah seorang wanita berusia 57 tahun dan ditemui bersama kereta berkenaan di sebuah bengkel di Pengkalan Pegoh,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 6:14pm
d