mutakhir

Suspek kes cubaan culik dibebaskan

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

TIGA pekerja penurap jalan yang direman sejak Isnin lalu atas dakwaan cubaan menculik remaja perempuan dibebaskan, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, ini berikutan tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan mereka dengan jenayah berkenaan.

“Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya semalam tiada arahan untuk tindakan lanjut.

“Oleh kerana tidak mencukupi bukti, kesemua mereka dibebaskan pada petang ini,” katanya ketika dihubungi.

Sebelum ini media melaporkan tiga pekerja penurap jalan berusia 24 hingga 58 tahun direman empat hari bermula Isnin bagi membantu siasatan atas cubaan menculik seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di Kampung Tok Kandang pada Ahad lalu.

Dalam kejadian Ahad lalu, suspek yang menaiki Perodua Viva Hitam cuba mendekati remaja sambil memberi isyarat pelik.

Remaja terbabit yang bimbang akan keselamatan dirinya terus melarikan diri ke kawasan pagar jirannya bagi meminta pertolongan.

Berita berkaitan

Remaja hampir jadi mangsa culik?

Suspek kes cubaan culik direman [METROTV]

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 6:21pm
d