mutakhir

Hadiah terakhir motosikal plat F buat isteri

Oleh Ahmad Ismail

ANGGOTA polis sempat memberikan hadiah motosikal bernombor pendaftaran F sempena nama isterinya, Fadilah Omar, 50, sebelum meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Kilometer (km) 13.5 Jalan Sungai Mati-Bukit Gambir, Tangkak, hari ini.

Dalam kejadian 7.15 pagi itu, Koperal Kahairol Johory Zainuddin, 53, maut di tempat kejadian selepas motosikal Yamaha LC ditunggangnya terbabit kemalangan dengan lori.

Anak sulungnya, Airul Haidie Kahairol Johory, 28, berkata motosikal SYM Bonus itu sepatutnya diambil beberapa hari lagi, namun petang semalam, arwah membawa pulang ke rumah sebagai kejutan kepada ibunya.

Selain itu, katanya, arwah ayahnya mahu menyelesaikan semua urusan harian semalam dan sempat membeli pelbagai kelengkapan dapur di sekitar bandar Bukit Gambir.

“Saya difahamkan, ketika bertemu rakannya di bandar semalam, arwah menolak pelawaan minum petang dengan alasan ingin segera pulang kerana perlu menguruskan pelbagai perkara.

“Arwah bapa bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar maut akibat parah di kepala, rusuk dan kedua-dua tangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menamatkan tugas pada 7 pagi tadi.

“Walaupun saya dan adik, Airunnisa, 27, Ayuni, 20 serta ibu, hilang tempat bermanja, kami reda dengan kejadian ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sawah Ring, Tangkak, hari ini.

Menurutnya, kali terakhir mereka merakam gambar kenangan keluarga ketika menghadiri majlis perkahwinan saudara di Perak, 16 September lalu.

Katanya, arwah bapanya dianggap sebagai panduan dan ‘kaunter aduan’ 24 jam kerana terlalu mesra serta boleh berkongsi pelbagai masalah dihadapi selain kerap menasihat supaya tabah dengan dugaan Allah SWT.

Sementara itu, Fadilah berkata, kali terakhir bertemu arwah sebelum keluar rumah pada 10.30 malam tadi.

“Arwah seorang yang penyayang dengan semua anak dan empat cucunya berusia sembilan bulan sehingga enam tahun dan tidak pernah gagal menceriakan hari saya dengan gurau sendanya.

“Dia amat penyabar dan mula bertugas di IPD Muar sejak 16 Januari 2019 lalu. Walaupun reda dengan pemergiannya kami akan tetap merindui,” katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam, Kampung Sawah Ring selepas solat Zuhur.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris Samsuri mengesahkan kejadian dan berkata, pemandu lori berusia 30 tahun sudah memberikan keterangan berhubung kemalangan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 7:35pm
d