mutakhir

Autistik pun boleh berjaya...[METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

AUTISME tidak menjadi penghalang kepada graduan Universiti Sains Malaysia (USM), Muhammad Ridz Aqil Ridzuan, bagi menggenggam segulung ijazah.

Muhammad Ridz, 23, yang berasal dari Singapura itu mengidap Autism Spectrum Disorder sejak berusia lima tahun.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di universiti bukan semudah yang disangka tambahan pula dia tinggal di asrama dan berjauhan dengan keluarga.

Katanya, dia amat meminati Kejuruteraan Awam dan kadang-kala boleh memperuntukkan masa seharian bagi menelaah beberapa subjek berkaitan.

“Saya hanya pulang ke Singapura pada cuti semester dan keluar dari kampus untuk membeli makanan.

“Pada masa lapang saya suka bersukan dan hanya berbasikal sepanjang di sini,” katanya yang ditemui di Upacara Konvokesyen USM ke-57, di Georgetown, hari ini.

Ibunya, Aida Othman, 50, berkata, dia dan suami, Ridzuan Salim, 50, nekad mencari universiti terbaik di luar Singapura bagi membolehkan Muhammad Ridz berdikari.

Katanya, hanya USM menawarkan pengajian yang dimahukan dan sesuai dengannya berikutan menjadi universiti mesra Orang Kurang Upaya (OKU).

“Sepanjang pengajian, kami hanya berhubung menerusi Skype dua kali sehari, tetapi kalau dia rasa tertekan terutama pada musim peperiksaan, ia akan menjadi tiga kali atau lebih dalam sehari.

“Pada mulanya risau juga kerana dia tidak pernah mengikuti apa-apa aktiviti perkhemahan atau lawatan ketika bersekolah, apatah lagi berjauhan daripada keluarga,” katanya lagi.

Muhammad Ridz kini menyambung pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Nanyang, Singapura.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Prof Dr Taksiah A Majid berkata, Muhammad Ridz adalah penuntut istimewa dan menjadi penuntut warga asing pertama di fakulti itu.

“Terdapat satu subjek yang mana hanya Muhammad Ridz sahaja yang mendapat A dalam kelasnya dan ia memang mengagumkan kami semua.

“Dia cepat belajar dan unik tetapi kita perlu tahu cara mengendalikan emosinya,” katanya lagi.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 8:35pm
d