mutakhir

Padam api jumpa PATI

Oleh Nur Lela Zulkipli

SEBANYAK 20 notis dikeluarkan kepada pemilik lot tanah pertanian di Johan Setia, Klang, selepas didapati melakukan pembakaran terbuka sejak tiga minggu lalu.

Ketua Penolong Pegawai Tanah dan Daerah Klang, Mohd Shahrizal Mohd Salleh berkata, tujuh daripada jumlah notis berkenaan adalah notis 7A membabitkan pelanggaran syarat sementara 13 lagi masih dalam siasatan.

“Sepanjang musim jerebu sejak tiga minggu lalu, terdapat 20 pemilik tanah yang didapati melanggar syarat dengan melakukan pembakaran terbuka.

“Setakat ini, penerima notis akan diberi tempoh sehingga tiga bulan bagi memulihkan pelanggaran syarat dilakukan dan hak miliknya akan dibuat catatan.

“Sekiranya terdapat pemilik gagal memberi penjelasan terhadap pelanggaran syarat yang dilakukan, kita akan keluarkan notis 7B,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas operasi mencegah aktiviti kebakaran tanah gambut di Johan Setia yang membawa peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Semenanjung, hari ini.

Notis 7B merujuk kepada kesalahan melanggar syarat yang mana pemilik tanah perlu hadir ke Pejabat Tanah untuk siasatan dan menjelaskan sebab tanah berkenaan tidak boleh dirampas menjadi hak kerajaan.

Dalam operasi bersepadu membabitkan tujuh agensi penguatkuasaan itu turut menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadikan tanah pertanian di Johan Setia sebagai penempatan.

“Daripada 35 warga asing diperiksa, empat daripada mereka yang juga warga Myanmar didapati menetap di Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah.

“Tiga wanita dan seorang lelaki ini juga didapati bekerja dengan menanam sayuran jenis kontan untuk dijual kepada penduduk setempat,” katanya.

Tujuh agensi terbabit dalam operasi berkenaan adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pelabuhan Klang, Balai Polis Klang Selatan, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Katanya, penahanan pendatang warga asing di kawasan itu juga disifatkan sebagai amaran kepada pemilik tanah bahawa aktiviti pembakaran terbuka adalah satu kesalahan.

“Operasi bersepadu ini juga antara usaha pihak berkuasa menangani masalah jerebu di Johan Setia yang mencatatkan bacaan IPU tertinggi di Semenanjung sejak jerebu melanda awal bulan ni,” katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2019 @ 9:36pm
d