mutakhir

SK Pusat Kemaman juara Kalam Jamaie

Oleh Malik Muhamad

LATIHAN lebih sebulan membawa tuah buat Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat, Kemaman selepas menjuarai Pertandingan Kalam Jamaie Peringkat Negeri sempena Karnival Dakwah Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Baharu Kerteh, Chukai, semalam.

Kemenangan itu membolehkan kumpulan dikenali Nida Ul Husna itu mewakili Terengganu ke peringkat kebangsaan di Banting, Selangor pada 24 Oktober depan.

Guru SK Pusat Kemaman, Liza Juliana Mohd Yasin berkata, mereka tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang kerana kumpulan lain turut memberikan persaingan hebat.

“Sejujurnya kami tidak jangka kerana saingan hebat daripada pasukan lain, tetapi rezeki memihak kepada kumpulan kami yang terdiri daripada murid tahun Tiga, Empat dan Lima.

“Kami terharu, gembira serta bersyukur selepas diumumkan sebagai pemenang, sekali gus mengubat duka tahun lalu apabila hanya meraih tempat ketiga.

“Justeru, menjelang pertandingan di peringkat kebangsaan bulan depan, kami akan meningkatkan lagi latihan bagi menggegar pentas kebangsaan pula,” katanya.

Tempat kedua disandang pasukan Az-Zahra dari SK Kampung Baharu Serada, Kuala Terengganu manakala tempat ketiga menjadi milik pasukan Al-Mawaddah SK Teluk Ketapang, Kuala Nerus.

Bagi Pertandingan Tulisan Khat kategori Murid Sekolah Rendah Lelaki, tempat pertama menjadi milik Muhammad Luqmanul Hakim Mohd Sanusi yang mewakili daerah Kuala Nerus; Aqil Qusyairi Sapawi daerah Kuala Terengganu (tempat kedua) dan Muhammad Adam Al-Amin Zaid mewakili Hulu Terengganu (tempat ketiga).

Kategori perempuan dimenangi Nur Alieya Syuhada Abdullah dari Kuala Terengganu manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik Rabiatul Rabiah Moeis dari Kemaman dan Ainnur Batrisya Mohd Zuhaidy dari Hulu Terengganu.

Bagi kategori Menengah Lelaki pula, kemenangan berpihak kepada Muhammad Nabeel Anuar Firdaus Khairi dari Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) Kuala Terengganu sementara Aiman Munawwir Abdul Razak (Besut) dan Hafizul Abqari Auji Ismail (Kemaman) di tempat kedua dan ketiga.

Pelajar SMAASZA, Siti Sarah Syamimi Mohd Sidek meraih tempat pertama kategori Menengah Perempuan diikuti tempat kedua, Nor Ain Firhani Mohd Nazir (Dungun) dan Nur Amirah Wajihah Sulaiman (Kemaman) di tempat ketiga.

Hadiah disampaikan Ketua Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Awi Salleh.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 12:12am
d