mutakhir

Menangis enggan lepas suami

Oleh Fardy Bungga

WANITA menangis teresak-esak apabila suaminya mengaku terbabit penyalahgunaan dadah dan ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumah mereka di Penampang, Kota Kinabalu.

Dalam operasi 10 malam kelmarin, wanita itu menangis memeluk suaminya dan terpaksa ditenangkan, sebelum lelaki itu dibawa keluar.

Ketua Pegawai AADK Kota Kinabalu Lawrence Galleh berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan selepas ujian saringan air kencingnya mendapati positif dadah jenis syabu.

Katanya, dia juga mempunyai rekod lampau bagi penyalahgunaan dadah dan pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama.

“Ketika serbuan itu dia dan isterinya berada di rumah, hanya menurut arahan anggota penguat kuasa untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil soal siasat, dia mengaku baru menghisap syabu untuk melepaskan gian ketagihan dadah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Lawrence berkata, dalam operasi, Op Cegah selama empat jam itu, tujuh lagi lelaki ditahan di empat lokasi iaitu Kampung Likas, Kampung Warisan Inanam, Taman Kingfisher dan Penampang.

“Empat daripada mereka positif dadah jenis syabu dan tiga positif ganja. Semua tangkapan berusia 19 hingga 50 tahun.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya yang memberitahu operasi turut dilakukan di Kampung Air, Jalan Gaya, Sinsuran dan Bandaran Berjaya.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 11:55am
d