mutakhir

Tidak mengaku gagal patuhi prosedur kerja selamat

Oleh BERNAMA

PENGARAH projek mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, hari ini terhadap pertuduhan pindaan gagal menyediakan prosedur kerja selamat sehingga berlaku tanah runtuh dan sembilan pekerja asing terkorban di tapak projek Jalan Bukit Kukus, Oktober tahun lalu.

Tertuduh Lai Sin Kian didakwa sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja backfill atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan insiden pada 1.50 tengah hari, 19 Okt 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Norsalha Hamzah kemudiannya menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan kes itu selepas peguam Lai, S Kanesh memaklumkan satu representasi dikemukakan beliau kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.

Mahkamah itu turut menetapkan tarikh sama (4 Nov) bagi sebutan semula kes Syarikat Yuta Maju Sdn Bhd, yang juga kontraktor bagi projek Pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong di Jalan Bukit Kukus itu bagi menunggu keputusan representasi yang dikemukakan syarikat pada 8 Ogos lalu.

Yuta Maju yang diwakili pengarahnya, Osmera Mamat, mengaku tidak bersalah pada 2 Julai lalu terhadap tiga pertuduhan, yang dalam pertuduhan pertama, syarikat itu didakwa gagal menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti mengangkat menggunakan kren bergerak sehingga menyebabkan rasuk jatuh di kawasan dalam pembinaan pada 8.30 malam, 11 Okt 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Yuta Maju yang didakwa sebagai majikan telah gagal mengadakan pengiraan kejuruteraan oleh jurutera bertauliah bagi kerja-kerja backfill atau menampung tanah untuk cerun sementara sehingga menyebabkan tanah runtuh pada 1.48 tengah hari, 19 Okt 2018 dan sembilan orang maut.

Kedua-dua pertuduhan ini dibaca mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Syarikat tersebut kontraktor dilantik Majlis Bandaraya Pulau Pinang bagi projek itu turut menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 29(2) akta sama kerana gagal melantik seorang pegawai keselamatan dan kesihatan yang kompeten di tempat kerja.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Norliza Abu Othman.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 1:52pm
d