mutakhir

Mahkamah putus Adib ditarik keluar van

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

MAHKAMAH Koroner di Shah Alam, hari ini menolak teori bahawa Muhammad Adib Mohd Kassim keluar sendiri daripada kenderaan dinaikinya sehingga mengalami trauma tumpul di dada yang menyebabkan kematiannya.

Koroner Rofiah Mohamad berkata, mahkamah menerima teori dikemukakan saksi ke-29 iaitu Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa trauma tumpul dialami anggota bomba itu disebabkan dia ditarik keluar dan diseret daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) pada posisi badan 45 darjah ke bawah.

“Pada masa sama, pintu EMRS diterajang dan menyebabkan (Adib) tersepit antara pintu dan jenang pintu.

“Sentuhan ini menyebabkan kecederaan berseret (pada badan mangsa) dan (kemudian) mangsa dihentak ke belakang menyebabkan kepatahan korteks tujuh tulang rusuk secara lurus yang akan saya jelaskan dalam penghakiman bertulis nanti,” katanya.

Dalam keputusannya, Rofiah memutuskan punca kematian Muhammad Adib disebabkan impak perbuatan jenayah yang diakibatkan dua atau lebih orang tidak dikenali.

Selain itu, mahkamah menolak pengiraan daya yang dikemukakan oleh saksi ke-24, Pakar Patologi Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang didakwa menyebabkan kecederaan pada mangsa.

Sebaliknya, mahkamah menerima pengiraan daya dikemukakan oleh Dr Shahrom, juga disokong saksi ke-30 iaitu pakar fizik yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi MARA Dr Amir Radzi Ab Ghani.

“Keterangan (Dr Hafizam) bahawa mangsa tertolak ke kiri jalan, ia menyalahi hukum fizik. Kalau dia sepatutnya jatuh ke belakang, ia akan menyebabkan ‘crush injuries’. Justeru, teori bahawa Adib turun sendiri daripada van adalah tertolak,” katanya.

Rofiah menjelaskan, teori Muhammad Adib diseret ke tepi jalan adalah lebih munasabah dan disokong dengan penemuan dua helmet di dalam van EMRS.

Selain itu katanya, keterangan Dr Shahrom juga bahawa tingkap van EMRS akan pecah jika dihentak berkali-kali turut disokong keterangan saksi anggota bomba bahawa van berkenaan digoncang dengan kuat di bahagian kiri dan kanan.

“Saya dapati bahawa mangsa ditarik keluar oleh orang yang bertindak ganas di sebelah kiri van EMRS,” katanya.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 2:11pm
d