mutakhir

Khidmat lori tangki diteruskan

Oleh Nur Saliawati Salberi

KERAJAAN Melaka memilih untuk terus menggunakan khidmat lori tangki berbanding melaksanakan kaedah penjadualan air walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sudah meluluskannya.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata, kaedah itu diambil bagi mengelakkan lebih ramai pengguna terjejas jika pelaksanaan air berjadual dilakukan.

Beliau berkata, bukan saja penduduk sebaliknya operasi di sektor perkilangan turut terjejas.

“Paling penting bagaimana kita boleh memberikan air kepada masyarakat, itu keutamaan kerajaan negeri.

“Kalau air berjadual (dilaksanakan) ia akan menjejaskan lebih ramai orang termasuk operasi perniagaan selain ia tidak mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Bertemu Rakyat di Seri Bendahara hari ini.

Mengulas lanjut, Adly berkata, sumber air yang ada harus disalurkan kepada masyarakat melalui lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan bantuan beberapa syarikat konsensi air negeri lain.

Beliau berkata, langkah itu diteruskan kerana kerajaan negeri mahu mengurangkan bilangan pemegang akaun khususnya penduduk yang terjejas.

“Lori tangki kita masih kekal 30 dan akan digunakan sehingga (masalah gangguan) pulih sepenuhnya.

“Sehingga kini paras Empangan Durian Tunggal masih antara 18, 19 peratus dan jika melepasi garis bacaan 40 peratus barulah kita stabil,” katanya.

Semalam, SPAN melalui kenyataan media memaklumkan pihaknya meluluskan permohonan SAMB untuk melaksanakan kaedah air berjadual bermula Rabu lalu.

Dalam kenyataan SPAN itu, jika pelaksanaan air berjadual dilaksanakan ia akan membabitkan 78,405 akaun pengguna di sekitar Bandar Melaka.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 4:50pm
d