mutakhir

PRESMA gesa sedia peti dan talian aduan

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PERSATUAN Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) gesa lebih 4,000 ahlinya untuk menyediakan kemudahan peti aduan dan talian hotline untuk pelanggannya mengemukakan apa juga masalah bagi menambahbaik perkhidmatannya di seluruh negara.

Merangkumi pelbagai aspek termasuk harga makanan, kebersihan premis dan layanan kakitangan, ia akan dijadikan saluran rasmi pengusaha untuk memperbaiki mutu perniagaan selain memastikan pelanggan berpuas hati dengan servis diberikan.

Presiden PRESMA Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya mengambil pendekatan sebegitu kerana mengutamakan kepuasan pelanggan dan menjadikan restoran Muslim sebagai pilihan utama rakyat negara ini.

“Kita juga mengambil kira kebersihan tandas, dapur serta seluruh kawasan premis, selari dengan peraturan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“PRESMA mahu menjadi contoh kepada amalan perniagaan yang baik, bersih dan halal.

“Saya sendiri sudah mulakannya di 21 rangkaian restoran milik saya. Kita sertakan nombor telefon di situ untuk sebarang aduan berkaitan kerana konsepnya bukan mengenai untung dan rugi saja tetapi perniagaan yang mematuhi kehendak agama,” katanya kepada Harian Metro di Kuala Lumpur hari ini.

Pendekatan itu adalah antara langkah awal Jawahar Ali selepas dilantik menerajui PRESMA dalam pemilihan pada Selasa lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, PRESMA juga akan menubuhkan Biro Belia bagi memberi latihan kepada golongan muda untuk menceburi bidang perniagaan.

Menurutnya ia sebagai persediaan kepada belia mempersiapkan diri sebagai usahawan selepas tamat pengajian kerana ia adalah bidang yang berpotensi tinggi untuk berjaya.

“Pengusaha kita ada pengalaman, jadi mereka boleh latih belia menerusi biro yang akan kita wujudkan ini nanti.

“Kita mahu mereka menguasai kemahiran dan digabungkan dengan latar belakang pendidikan yang mereka miliki,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 5:02pm
d