mutakhir

3 maut pikap jatuh gaung

Oleh Erika George

TIGA maut selepas pacuan empat roda (4WD) dinaiki terbabas lalu terjunam ke gaung sedalam 100 meter di Jalan Lio Matu, Baram semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, ketiga-tiganya maut di lokasi dalam kejadian 12.30 tengah hari itu.

Katanya, mangsa adalah Kebing Pasang, 43 (pemandu) serta dua lagi penumpang wanita, Ubong Lah, 74, dan Tok Dop, 60.

“Bagaimanapun, kejadian ini hanya dilaporkan 11.02 pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi kerana faktor lokasi IPD yang jauh iaitu 12 jam perjalanan dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa parah pada bahagian kepala dan badan.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan dari arah Kampung Lio Matu menuju ke Miri itu hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 100 meter.

Beliau berkata, semua mangsa dibawa naik penduduk kampung serta bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) dan dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 5:11pm
d