mutakhir

HM bagai pisang goreng panas

Oleh Malik Muhamad

DALAM tempoh dua jam, 260 naskhah akhbar Harian Metro (HM) wajah baharu laris bagai pisang goreng panas di perkarangan Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu hari ini.

Lebih menarik, orang ramai mendapat sebotol air minuman Teh O Ais percuma tajaan Yeo’s dengan setiap pembelian akhbar bahasa Melayu nombor satu negara berusia 28 tahun itu sempena promosi bermula 8.30 pagi.

Promosi yang diketuai Pengurus Jualan Cawangan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Terengganu, Fazleesham Mohd Yunus adalah sebahagian daripada usaha mempromosikan wajah baharu HM yang dilancarkan 16 September lalu.

Peminat setia HM, Mohamad Ngah, 62, berkata, dia membaca HM setiap hari kerana sudah lama meminati isi kandungan akhbar itu.

“Saya minat baca HM sejak lebih 20 tahun lalu kerana isi kandungannya menarik dan padat.

“Lebih menarik bahagian Arena kerana saya minat sukan, surat khabar ini lebih ceria dan banyak cerita (berita) menarik selepas ia berwajah baharu.

“Bukan saya seorang yang membaca HM tetapi anak-anak turut meminati akhbar ini dan berharap HM terus menyajikan berita menarik untuk tatapan pembaca,” katanya yang tinggal di Kampung Baharu Serada.

Bagi Nur Fadilah Abd Rahman, 26, dari Pulau Rusa pula, wajah baharu HM lebih menarik terutama kepada generasi muda kerana ada pelbagai berita sensasi bukan saja artis tetapi berita lain.

“Pendek kata akhbar wajah baharu ini lebih terkini mengikut arus semasa orang muda selain berita yang dipaparkan terkini dan padat,” katanya yang mula membaca akhbar HM sejak di sekolah lagi.

Peminat cilik akhbar ini, Muhammad Anas Al-Bukhari Abdul Malik, 11, berkata, dia membaca akhbar HM kerana penulisannya mudah difahami selain banyak gambar.

“Ruangan yang paling saya suka tentunya Arena kerana saya meminati sukan terutama bola sepak dan badminton,” kata murid Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus.

Sementara itu, Fazleesham mengakui terkejut dengan sambutan pembaca yang berkunjung ke pasar berkenaan untuk membeli barangan harian.

“Ini menunjukkan akhbar HM mempunyai pembacanya daripada pelbagai peringkat usia sebagaimana yang dapat dilihat sepanjang promosi ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 5:33pm
d