mutakhir

Inkues Adib: 'Jangan politikkan keputusan mahkamah'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

“INI bukan kes rasis. Kalau salah, salah. Bukan sebab kaum. Kita semua Malaysia, tetapi kita mahu juga keadilan untuk Adib,” kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah berkata demikian bagi mengulas keputusan inkues membabitkan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim diputuskan Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, kerajaan menghormati keputusan inkues yang dikeluarkan itu.

“Saya difahamkan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador sudah keluarkan kenyataan bahawa akan membuka semula siasatan kes itu,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Karnival Rahmah 2019 di Putrajaya, hari ini.

Katanya, beliau tidak mahu kes kematian itu dianggap sebagai jenayah perkauman sebaliknya ia adalah satu perbuatan jenayah.

Dr Wan Azizah berkata, beliau juga mahu rakyat supaya bertenang dan meminta supaya kes itu tidak dijadikan modal politik.

Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini, memutuskan punca kematian Muhammad Adib ialah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad pada pagi ini membacakan keputusan inkues kematian Muhammad Adib disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih orang tidak dikenali.

Prosiding inkues yang dikendalikan Pengendali Faten Hadni Khairuddin itu bermula pada 11 Februari lalu dengan seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar dipanggil memberi keterangan selain 137 eksibit dikemukakan.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 5:37pm
    d