mutakhir

Jom bantu tiga bayi ini

Oleh Zuhainy Zulkiffli

TIGA bayi yang mempunyai masalah jantung memerlukan dana sebanyak RM210,000 bagi menampung kos pembedahan mereka.

Bayi berkenaan masing-masing Muhammad Hafizhan Hailmi, 10 bulan, Muhammad Syakir Wafiq Muhamad Faiz, tiga bulan dan Ong Zhi Xuan, 14 bulan.

Bapa Muhammad Syakir Wafiq, Muhammad Faiz Abdul Rahim, 30, berkata, anaknya memerlukan dana sebanyak RM90,000 bagi menampung kos pembedahan.

Katanya, dengan pendapatan sebanyak RM800 sebulan di bengkel motosikal dekat Bukit Mertajam, dia tidak mampu mendapatkan wang sebanyak itu.

“Isteri saya, Siti Haidah Yusoff, 21, pula tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga Muhammad Syakir yang kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kulim, Kedah.

“Sejak lahir, anak kami tidak pernah keluar dari hospital kerana perlu menerima rawatan dan harapan kami supaya pembedahan ini berjaya serta dapat membawa anak pulang ke rumah,” katanya.

Bagi pasangan Hailmi Ismail, 38, dan Norma Nordin, 36, pula, mereka memerlukan kos sebanyak RM60,000 untuk membolehkan anak mereka, Muhammad Hafizhan menjalani pembedahan.

Hailmi bekerja sendiri dengan pendapatan sebanyak RM1,700 sebulan manakala isterinya adalah suri rumah selain perlu menyara tiga anak.

“Saya juga berulang-alik ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan Hospital Pulau Pinang (HPP) memandangkan anak saya memerlukan rawatan rapi selain terpaksa mengambil enam jenis ubat setiap hari,” katanya.

Turut sama ditemui ialah Ong Bak Choon, 46, yang memerlukan kos sebanyak RM60,000 bagi pembedahan anaknya, Zhi Xuan.

“Saya buntu bagi mengumpul wang sebanyak itu tambahan pula saya hanya bekerja di kedai tayar dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity & Welfare Berhad sudah mengeluarkan dana sebanyak RM21,000 bagi menampung kos awal pembedahan tiga bayi berkenaan.

Pengerusinya, Chua Sui Hua berkata, pembedahan tiga bayi itu masing-masing dijadualkan berlangsung pada hari ini, 30 September dan 3 Oktober ini.

“Kita berharap dapat mengumpul baki kos pembedahan dengan segera bukan hanya bagi membiayai rawatan bayi terbabit, tetapi kepada lebih ramai pihak lain yang memerlukan pada masa depan.

“Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Public Bank atas nama One Hope Charity & Welfare Berhad di nombor 3193433435,” katanya kepada media, hari ini.

Orang ramai juga boleh menghubungi pertubuhan itu di talian 019-2322192/016-4192192 atau 04-5059800 bagi pertanyaan lanjut.

Disiarkan pada: September 27, 2019 @ 6:04pm
d