mutakhir

Seronok belajar bahasa Inggeris

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

“SEBELUM ini, saya sering berpendapat susah untuk mempelajari bahasa Inggeris kerana ia bukan bahasa harian yang digunakan di rumah atau sekolah.

“Namun, dengan bantuan guru serta Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) dari Amerika Syarikat, barulah saya sedar bahawa bahasa Inggeris sebenarnya menyeronokkan dan ia kini menjadi mata pelajaran kegemaran di sekolah,” kata Nor Adawiatul Najwa Mazuannizam, 16.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan itu antara 100 pelajar dari seluruh negara yang menyertai Kem Pemerkasaan Wanita Kebangsaan selama empat hari di ibu negara bermula kelmarin.

Kem khas bagi menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah luar bandar itu dianjurkan pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia dan ia juga adalah kemuncak kepada program ETA yang dijalankan sejak Januari lalu.

Menurut Nor Adawiatul, dia teruja mengikuti kem berkenaan kerana selain berpeluang meluaskan lagi penguasaan bahasa Inggeris, dia juga dapat bertukar berpendapat dengan rakan sebaya dari seluruh negara.

“Dengan sokongan ETA, saya belajar kikis perasaan malu untuk cuba bertutur dalam bahasa Inggeris.

“Memang janggal pada mulanya namun lama-kelamaan semakin selesa dan demi masa depan, saya berazam untuk menguasai bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui sempena kunjungan Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Hannah Yeoh di sini, semalam.

Dalam pada itu, Kamala berkata, ETA adalah program kerjasama antara AS dan Malaysia yang bermula sejak 2006.

Kata beliau, untuk setiap pusingan, seramai 100 graduan universiti dari AS dihantar ke 100 sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pendidikan bagi membantu meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di luar bandar.

“Semua sekolah terbabit adalah dari sembilan negeri iaitu Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan, Perlis, Kedah, Melaka, Sabah dan Sarawak.

“Pembantu Pengajar akan ditempatkan selama 10 bulan dan mereka akan membantu guru untuk menjalankan pelbagai aktiviti dalam serta luar kelas bagi meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

“Sejak diperkenalkan, program ETA ini memberi manfaat kepada ribuan pelajar di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Yeoh berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif yang dilakukan pihak AS dan kerajaan Malaysia dalam membantu pelajar menguasai bahasa berkenaan.

Katanya, bahasa Inggeris adalah bahasa perantaraan dan semua sedia maklum mengenai kepentingannya.

“Menguasai atau bertutur dalam bahasa Inggeris bukan bermaksud kita tidak setia kepada bahasa ibunda atau cuba menjadi ‘orang putih’.

“Sebaliknya, dengan menguasai bahasa Inggeris kita boleh berdiri sama tinggi dengan masyarakat antarabangsa dan mendapat lebih banyak peluang untuk memajukan diri,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 6:00am
d