mutakhir

Cikgu pisau moden [METROTV]

Oleh Hairulazim Mahmud

“SAYA berguru dengan YouTube,” itu pengakuan ikhlas tukang pisau moden, Alzaidi Khosni, 54.

Katanya, untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang khususnya kemahiran pembuatan pisau, seseorang itu mesti memiliki minat tinggi selain tidak malas untuk terus belajar.

Menurut Alzaidi, di Malaysia secara umumnya, peminat senjata tajam seperti pisau terbahagi kepada dua kumpulan iaitu pisau tradisional dan moden.

Tukang-tukang pisau juga terbahagi kepada dua, mengikut aliran pilihan serta kepakaran mereka dan masing-masing mempunyai kelebihan.

“Pisau dengan reka bentuk moden menjadi pilihan peminat dan pengumpul senjata hari ini kerana rekaannya terkini dan pelbagai, selain mudah serta cepat untuk dihasilkan apabila ditempah,” katanya.

Menurut Alzaidi, dia memilih menjadi tukang pisau moden dan uniknya, dia meningkatkan kemahiran dengan belajar sendiri.

“Mulanya saya menghasilkan pisau hanya sebagai hobi, buat di rumah sahaja.

“Cara lukis bentuknya, potong, canai hingga siap hulunya, semua saya buat sendiri dengan menonton YouTube,” katanya yang sudah empat tahun menceburi bidang itu.

Menurutnya, tukang lama sukar untuk berkongsi rahsia kepakaran mereka menghasilkan pisau.

Kerana itu dia mengambil keputusan untuk belajar menerusi media sosial.

“Tanpa ilmu, tiada pengalaman saya mencuba dan Alhamdulillah, inilah hasilnya hari ini,” katanya.

Hari ini, nama Alzaidi terkenal dalam kalangan pembuat pisau moden kerana hasil tangannya yang unik, kemas dan kontemporari.

Hasil tangan Alzaidi menjadi pilihan peminat pisau dalam dan luar negara sama ada pisau untuk kegunaan lasak, dapur, sembelih dan sebagainya.

“Pisau moden mudah untuk dijual. Saya tidak tunggu tempahan, tapi saya hasilkan apabila datang ilham sebelum jual.

“Setiap pisau yang saya hasilkan tidak sama satu sama lain. Maksudnya, setiap satu adalah eksklusif untuk setiap pembeli sahaja,” katanya.

Menurut Alzaidi, besi yang digunakan ialah Sup9a, D2, Skd11, K110, N690, V4e, Elmax, V8 dan M390 yang berharga daripada RM80 hingga RM1,000 sekeping.

“Pisau jenis full tang adalah pilihan saya berbanding tradisional atau puting kerana full tang lebih kuat untuk kegunaan lasak,” katanya.

Pisau jenis full tang bermaksud pisau yang dihasilkan daripada sekeping besi daripada hujung ke hulu.

Pisau puting pula ialah pisau tradisional dengan hulunya diruncingkan.

Berkaitan hulu pisau, Alzaidi memilih kayu berkualiti tempatan selain diimport dari Amerika Syarikat.

“Kayu cengal, akasia, burl merbau dan arang buaya ntara kayu pilihan saya untuk menghasilkan hulu,” katanya.

Alzaidi turut menawarkan kepada golongan muda yang mahu mempelajari seni penghasilan pisau untuk datang ke bengkelnya di Puncak Alam.

“Jumpa tukang-tukang pisau lama, nak belajar dengan saya pun boleh, percuma sahaja, tempat tidur ada disediakan.

“Susah dapatkan ilmu ini, tapi saya mahu kongsikan ia dengan generasi muda yang berminat,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 6:05am
d