mutakhir

Khidmat lori tangki diteruskan

Oleh Nur Saliawati Salberi

KERAJAAN negeri akan terus menggunakan khidmat lori tangki berbanding melaksanakan kaedah bekalan air berjadual yang diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, kaedah itu diambil bagi mengelakkan lebih ramai pengguna terjejas sekiranya bekalan air berjadual dilaksanakan.

Beliau berkata, bukan sahaja penduduk malah operasi di sektor perkilangan turut akan terjejas.

“Paling penting bagaimana kita boleh memberikan air kepada masyarakat, itu keutamaan kerajaan negeri.

“Kalau bekalan air berjadual dilaksanakan, ia akan menjejaskan lebih ramai orang termasuk operasi perniagaan selain ia tidak mudah,” katanya selepas Program Bertemu Rakyat di Seri Bendahara di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Adly berkata, sumber air yang ada harus disalurkan kepada masyarakat melalui lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dengan bantuan beberapa syarikat konsensi air negeri lain.

“Lori tangki kita masih kekal 30 dan akan digunakan sehingga masalah gangguan pulih sepenuhnya.

“Sehingga kini paras Empangan Durian Tunggal masih antara 18 dan 19 peratus dan jika melepasi garis 40 peratus barulah stabil,” katanya.

Kelmarin SPAN melalui kenyataan media memaklumkan pihaknya meluluskan permohonan SAMB untuk melaksanakan kaedah air berjadual bermula 25 September.

Dalam kenyataan itu, sekiranya pelaksanaan air berjadual dilaksanakan ia akan membabitkan 78,405 akaun pengguna di sekitar Bandar Melaka.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 6:15am
d