mutakhir

1.2 juta pengguna

Oleh Rosyahaida Abdullah

PEMASANGAN meter pintar oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal dimulakan di Lembah Klang tidak lama lagi sejurus sebahagian besar daripada 740 tiang Frekuensi Radio (RF) siap dipasang.

Pengarah Projek Infrastruktur Permeteran Lanjutan Bahagian Rangkaian Pengedaran TNB, Mohamed Ghous Ahmad berkata, pemasangan itu membabitkan 1.2 juta isi rumah bagi fasa kedua tempoh Kawal Selia Kedua (RP2) yang akan berakhir menjelang penghujung tahun depan.

Menurut beliau, lapan kawasan dikenalpasti untuk pemasangan itu meliputi Cheras/Hulu Langat, Shah Alam, Rawang, Bandar Baru Bangi, Petaling Jaya, Kuala Lumpur Barat, Kuala Lumpur Pusat dan Putrajaya/Cyberjaya.

“Setakat April lalu, kira-kira 200 tiang RF sudah dipasang di serata Lembah Klang namun kita masih perlu pasang sebahagian besar lagi untuk memastikan operasinya stabil sebelum menukar meter lama kepada meter pintar.

“Ketika ini, kita melatih pekerja di Pusat Latihan TNB yang bakal terbabit dalam kerja pemasangan ini dengan sasaran 8,000 unit meter pintar dipasang setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pembentangan sempena Taklimat Media Mengenai Pemasangan Meter Pintar di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya di sini, semalam.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Noor Afifah Abdul Razak dan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Suruhanjaya Tenaga, Ir, Roslee Esman.

Mengulas lanjut, Mohamed Ghous berkata, fasa pertama RP2 sudah selesai di Melaka membabitkan hampir 300,000 isi rumah dan rata-rata pengguna memberikan maklum balas positif selepas menggunakannya.

“Antara fakta menarik mengenai meter pintar, pengguna boleh kawal penggunaan elektrik serta jumlah bil menerusi penggunaan aplikasi myTNB yang membolehkan mereka memeriksa jumlah kegunaan tenaga elektrik mereka setiap hari.

“Apapun, beberapa langkah akan diambil sebelum pemasangan ini dibuat termasuk sesi penerangan bersama pemimpin masyarakat, makluman melalui surat dan sebagainya bagi memastikan pengguna benar-benar faham mengenai meter pintar,” katanya.

Mohamed Ghous berkata, selepas RP2 selesai tahun depan, TNB selaku pelaksana akan meneruskan projek pemasangan meter pintar untuk RP3 (2021-2023) membabitkan 3.6 juta isi rumah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor serta RP4 (2024-2026) di negeri selebihnya.

Roslee pula menjelaskan, meter pintar adalah polisi kerajaan yang terkandung dalam Teras 3 Inisiatif MESTECC 2019 iaitu Meningkatkan Tadbir Urus Industri Elektrik di Malaysia dengan indeks petunjuk prestasi (KPI) Melaksanakan Pemasangan Meter Pintar.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 6:20am
d