mutakhir

Rampas 600 kg ikan

Oleh Norasikin Daineh

KIRA-KIRA 600 kilogram (kg) ikan dirampas disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan dalam satu operasi di kawasan Pasar Besar Safma, di Kota Kinabalu, kelmarin.

Dalam operasi jam 12.30 tengah malam itu, sebanyak 35 meja peniaga ikan di pasar terbabit diperiksa bagi mengesan individu menjual ikan yang ditangkap menggunakan kaedah bom.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bertindak atas aduan orang awam, sepasukan pegawai dan anggota bersama 15 pegawai dari Jabatan Perikanan Kota Kinabalu melaksanakan operasi Inter Agensi di kawasan berkenaan.

“Operasi ini memberi tumpuan terhadap peniaga ikan dan mengesan serta menangkap individu yang menjual ikan bom bagi menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan bom di pasar itu.

“Sepanjang operasi ini, sebanyak 35 meja peniaga ikan diperiksa dan hasil pemeriksaan secara terperinci dilakukan sendiri oleh Pegawai Perikanan membawa kepada penemuan kira-kira 600 kg ikan pelbagai jenis dirampas selepas disyaki ditangkap menggunakan bahan letupan.

Mohamad Pajeri berkata, anggaran nilai rampasan keseluruhan ikan terbabit adalah RM13,800.

“Semua rampasan ini dibawa ke pejabat Markas Operasi PPM Kota Kinabalu dan diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1) (c) Akta Perikanan 1985 (memiliki ikan disyaki menggunakan bahan letupan),” katanya.

Terdahulu, Mohamad Pajeri meminta kerjasama daripada masyarakat setempat bagi memaklumkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan bom ikan dan penjualan ikan yang dibom kepada pasukan keselamatan untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 10:23am
d