mutakhir

Gerakan jatuhkan industri halal

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

TERDAPAT beberapa gerakan yang ingin menjatuhkan industri halal negara termasuk wujudnya tindakan memburukkan reputasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof selepas mendapati beberapa isu lama berkaitan status halal ditularkan kembali di media sosial.

“Isu lama ini memang sengaja ditularkan, contoh kes cop halal yang terdapat di tin makanan berasaskan khinzir. Itu adalah isu lama sekitar 2014, pihak JAKIM pun sudah nafikan tetapi kini ia ditularkan kembali.

“Selain itu, ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang menaikkan isu tidak betul, mengatakan ada beberapa produk tidak mendapat pensijilan halal. Walhal produk berkenaan ada sijil halal.

“Berkemungkinan gerakan itu dilakukan oleh orang industri yang bersaing sesama sendiri tetapi menggunakan kami (JAKIM) sebagai alasan,” katanya kepada media selepas menyertai Halal Fun Run di Dataran Putrajaya, hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad; Ketua Pengarah JAKIM Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Sekretariat Majlis Halal Malaysia Datuk Seri Sirajuddin Suhaimee.

Katanya, pihaknya sangat profesional dan tidak akan campur tangan dengan persaingan tidak sihat kerana hanya menumpukan pada usaha untuk mengekalkan piawaian pensijilan halal.

Mujahid berkata, beliau tidak peduli niat tidak baik yang cuba dimainkan oleh pihak berkenaan sebaliknya, terus memainkan peranan khususnya memastikan kualiti produk terjamin dengan status halal yang sah.

“Kami sangat profesional dan mengikut prosedur ditetapkan, yang mana (produk) ikut Prosedur Operasi Standard (SOP) kita akan beri sijil halal,” katanya.

Menurutnya, orang awam yang masih musykil dengan pensijilan halal produk tertentu boleh layari aplikasi telefon pintar ‘Verify Halal’ yang memaparkan semua produk dengan status halal itu.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 11:18am
d