mutakhir

Dua penuntut UUM maut tersepit

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) maut manakala, seorang parah selepas kereta dinaiki terbabas dan merempuh pokok berhampiran tangki air universiti itu di Sintok, hari ini.

Dalam kejadian 4.20 pagi hari ini, Sik Wei Nei, 23, dan Chua Wen Chun, 21, meninggal dunia manakala, pemandu kereta jenis Proton Saga parah.

Dua lagi penumpang kereta itu hanya cedera.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kereta berkenaan dipercayai dari arah Changlun menghala ke UUM sebelum terbabas dan terlanggar pokok di kiri jalan.

“Akibat perlanggaran, dua penumpang meninggal dunia di lokasi kejadian dan pemandunya parah dihantar ke Hospital Jitra (HJ) untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, dua lagi penuntut wanita yang cedera iaitu Ooi Hui Lin, 21, dan Tay Yee Chin, 21, berasal dari Pulau Pinang dirawat di hospital sama.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik HJ untuk dibedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, lima mangsa dalam kenderaan itu tersepit dan anggotanya menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka.

Katanya, operasi oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam yang diketuai Pegawai Bomba Hairi Shafanis Rosnan.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 11:46am
d