mutakhir

Lebih 20 tahun bela beruang matahari

Oleh Goh Pei Pei

SEEKOR lagi beruang matahari yang disimpan sebagai haiwan peliharaan selama lebih 20 tahun di Kampung Rasau, Serian diselamatkan, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC) Zolkipli Mohamad Aton berkata, kejayaan itu hasil maklumat awam yang melihat beruang matahari dipelihara di sebuah ladang.

Susulan itu, katanya, SFC menghantar pegawainya untuk melakukan pemeriksaan dan menjumpai hidupan liar itu dikurung di dalam sangkar kecil.

“Pemilik menunjukkan lesen sah yang dikeluarkan oleh Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak.

“Dia mendakwa sudah memelihara beruang matahari itu lebih daripada 20 tahun dan memperbaharui lesennya setiap tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini,

Bagaimanapun, Zolkipli berkata, pemilik melanggar syarat lesen iaitu saiz kandang untuk haiwan itu yang terlalu kecil.

Katanya, selepas diperjelaskan mengenai syarat berkenaan, pemilik secara sukarela menyerahkan beruang matahari itu untuk dihantar ke Pusat Hidupan Liar Matang.

“Beruang matahari dilindungi mengikut Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998, yang mana membunuh, memelihara, menjual dan membeli haiwan itu adalah dilarang.

“Jika didapati bersalah, individu terbabit boleh dipenjara selama satu tahun dan denda RM10,000,” katanya.

Rabu lalu, seekor beruang berusia tujuh tahun diselamatkan dari sebuah rumah di Demak Laut, Kuching.

Spesies yang dilindungi seberat 76 kilogram itu diselamatkan SFC selepas imej haiwan itu tular di media sosial.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 1:52pm
d