mutakhir

Pembonceng maut terjatuh lalu digilis lori

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

SEORANG pelajar lelaki maut digilis lori selepas terjatuh dalam kemalangan di Jalan Serai 9, Hulu Langat, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, mangsa berusia 13 tahun yang membonceng motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama rakan lelakinya, juga berusia 13 tahun dalam perjalanan dari Batu 14 menuju ke Batu 9, Hulu Langat.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapan, tetapi muncul sebuah lori dari arah bertentangan.

“Penunggang motosikal cuba mengelak menyebabkan pembonceng terjatuh di atas jalan dan dilanggar lori dari belakang,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Ampang dan pemandu lori sudah membuat laporan polis berhubung kemalangan itu.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di talian 03-89114222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 28, 2019 @ 7:16pm
d