mutakhir

Dua mayat kru bot nelayan ditemui

Oleh Norasikin Daineh

DUA mayat kru bot nelayan dari Brunei yang dilaporkan hanyut pada bulan lalu di perairan negara ditemui ketika operasi mengesan bangkai bot berkenaan dilakukan di perairan Pulau Kuraman, dekat Labuan, kelmarin.

Operasi yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bermula 9 pagi itu membawa kepada penemuan dua daripada 11 mangsa yang dilaporkan hanyut pada 7 Ogos lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Eksesais Maritim Sabah, Komander Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, operasi mengesan bangkai bot dilakukan bersama Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS), pemilik bot, Jabatan Laut Malaysia (JLM) serta bantuan penyelam selain menggunakan bot Pilot Dua.

“Operasi bermula pada 9 pagi dan mayat pertama dinaikkan pada kira-kira 1 tengah hari, manakala mayat kedua dinaikkan pada 3.30 petang.

“Operasi mengeluar dan menimbulkan mayat mangsa berjaya dilakukan dengan bantuan kerjasama pemilik bot bersama sembilan orang penyelam dan petunjuk daripada mangsa yang terselamat dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, di Labuan, semalam.

Katanya lagi, kedua-dua mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 5 petang.

Terdahulu, pada 7 Ogos lalu seramai 11 kru bot nelayan dari Brunei dilaporkan hanyut dan dua daripada mangsa ditemui dalam keadaan selamat di perairan Pulau Tiga.

Dalam kejadian itu, Sakur Ahing Juplin, 39, disahkan selamat manakala rakannya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1).

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 8:48am
d