mutakhir

Tragedi langgar lari

Oleh Hidayatul Akmal Ahmad

LELAKI warga Myanmar maut dipercayai dilanggar lari ketika melintas jalan di Kilometer 14 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh menghala ibu kota, semalam.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa dikenali sebagai Pyae Phyo Lin, 22 meninggal dunia selepas parah di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa yang berada di tengah pembahagi jalan sedang melintas sebelum dilanggar lari oleh kenderaan jenis dan nombor yang belum dikenal pasti.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala, badan serta kaki dan tercampak ke atas jalan raya.

“Mangsa dialihkan oleh orang awam dan di letakkan di hadapan pintu pagar Wisma SPH sebelum disahkan meninggal dunia oleh ambulans Hospital Selayang pada 11.30 malam.

“Jalan tempat kejadian adalah jalan selekoh ke kiri satu lorong dua hala serta cuaca baik. Tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi bebas di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti kenderaan yang melanggar mangsa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 11:39am
d