mutakhir

Bekas EXCO Kedah didakwa mencabul

Oleh Nor Farhani Che Ad

POLIS menyiasat bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Kedah selepas didakwa mencabul seorang wanita dalam kejadian 9 Ogos lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian, Jumaat lalu selepas mangsa membuat laporan di Balai Polis Gurun.

Katanya, lelaki yang berusia 60-an akan dipanggil dalam masa terdekat.

“Setakat ini, kita sudah rakam percakapan beberapa orang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian itu, wanita lewat 30-an mendakwa lelaki berkenaan memegang tangan dan pahanya serta cuba meraba, selepas dia dibawa keluar pada 8.30 malam untuk berbincang mengenai hal sebuah parti politik.

Mangsa dikatakan cuba menyelesaikan insiden itu secara dalaman membabitkan kepemimpinan parti, namun gagal lalu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 12:40pm
d