mutakhir

Tarikh akhir 'mengaku' esok

Oleh Siti Azila Alias

KERAJAAN tidak akan melanjutkan tempoh Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang berakhir esok.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, ini kerana pihaknya sudah memberikan tempoh mencukupi buat pembayar cukai mengisytihar pendapatan masing-masing secara sukarela kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, individu yang belum membuat pengisytiharan sama ada disengajakan atau tidak, masih lagi mempunyai masa sehingga esok untuk berbuat demikian.

Jika gagal, penalti antara 45 hingga 300 peratus boleh dikenakan terhadap mereka.

“Esok (30 September) adalah hari terakhir PKPS. Saya harap sesiapa yang nak buat pelaporan masih boleh bentangkannya dan semua akan dikira masih sah laku asalkan ia dibuat paling lewat esok.

“Tidak akan ada lagi lanjutan selepas itu kerana sungguh pun dibentang esok, ia masih sah sebab prosesnya akan memakan masa dua minggu hingga satu bulan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya Drive Safe With Us di Jalan Raja Uda, Butterworth, hari ini.

PKPS diumumkan dalam Belanjawan 2019 adalah inisiatif kerajaan dalam melakukan reformasi percukaian bagi menggalakkan pembayar cukai tampil secara sukarela mengisytiharkan pendapatan dan seterusnya berupaya mengurangkan ketirisan hasil negara.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan penggunaan bil elektrik bagi menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95, Guan Eng berkata, perkara itu di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK).

“Rujuk KPDNKK. Tidak elok untuk saya beri kenyataan bagi pihak kementerian lain. Jika selepas kenyataan rasmi dibuat dan sudah tidak ada lagi sebarang persoalan mengenainya baru saya akan komen,” katanya ringkas.

Semalam, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen menerusi satu temubual eksklusif bersama Sin Chew Daily berkata, cadangan bagi mekanisme itu akan dibawa ke Kabinet bulan depan.

Katanya, hanya golongan dalam kategori B40 dengan bil elektrik bulanan antara RM100 dan RM200 layak mendapat subsidi terbabit dan boleh memilih untuk menikmati subsidi bulanan sebanyak RM30 atau subsidi sebanyak 30 sen untuk setiap liter petrol RON95 sehingga 100 liter setiap bulan.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 12:51pm
d