mutakhir

Tunggu kelulusan permohonan zakat - Sivarasa

Oleh Rosyahaida Abdullah

SEBAHAGIAN daripada 82 keluarga terbabit dalam perobohan rumah di tebing Sungai Kedondong, Paya Jaras Hilir, Sungai Buloh, dua minggu lalu, kini dalam proses menunggu kelulusan permohonan zakat, kata Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, itu antara bantuan disalurkan kerajaan sementara menunggu unit Rumah Selangorku ditawarkan kepada mereka siap dibina dua tahun lagi.

“Disebabkan mereka menolak tawaran rumah sudah siap di Rawang kerana dikatakan jauh, kami tawarkan unit Rumah Selangorku di Bukit Rahman Putra dan Aman Putri, tetapi semua unit ini masih dalam pembinaan.

“Sebahagian besar daripada mereka sudah bersetuju dan sedang menyiapkan dokumentasi dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) untuk sempurnakan proses pembelian melalui surat perjanjian dan sebagainya.

“Jadi, sementara menunggu rumah siap, saya difahamkan zakat akan salurkan bantuan sewa rumah kepada mereka yang layak selain bantuan kewangan seperti bulanan dan sebagainya. Ini turut membabitkan keluarga menyewa di situ,” katanya.

Terdahulu, beliau menyertai gimik penutupan program Larian Hari Malaysia 2019 Peringkat Saujana Utama di hadapan Balai Masyarakat Saujana Utama, Sungai Buloh.

Hadir sama, Pegawai Perpaduan Daerah Kuala Selangor, Mohamad Shahrin Shuib; Ketua Polis Balai Polis Saujana Utama, Sarjan Sham Sukardi Abdullah dan Pengerusi Program, Zakri Iskandar Mohamad Amin.

Mengulas lanjut, Sivarasa berkata, baki rumah masih berada kawasan rizab sungai terbabit akan tetap diroboh bagi memberi laluan kepada kontraktor memulakan kerja pelebaran dan pendalaman sungai.

“Tiada siapa suka melakukan perobohan, tetapi tindakan ini tidak dapat dielakkan di kawasan terbabit kerana ia sudah tertangguh sejak 2015 lagi.

“Ada yang bina rumah di tebing sungai, tetapi bukan di tapak rizab, itu tiada masalah. Kita cuma terpaksa teruskan di tanah rizab kerana penangguhan perobohan ini menjadikan masalah banjir tidak dapat diatasi dan memberi kesan kepada penduduk yang lebih ramai,” katanya.

Sementara itu, lebih 500 peserta terbabit dalam acara itu yang kali kedua dianjurkan bersempena bukan kemerdekaan serta Hari Malaysia.

Lima kategori diadakan iaitu kanak-kanak bawah 12 tahun, remaja bawah 17 tahun, terbuka, orang kurang upaya dan family fun walk.

“Taida negara lain di dunia boleh dibandingkan dengan kekuatan kita hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum.

“Aktiviti disertai semua kaum ini semestinya menyemarakkan lagi semangat kita untuk pelihara kemerdekaan yang sudah kita kecapi lebih 60 tahun lamanya,” kata Sivarasa.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 4:13pm
d