mutakhir

Abang Mi senyum lebar

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

TAHUN lalu pelajar autisme ini menyimpan impian untuk menghadiahkan sebuah tanjak buatan sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tanjak itu ciptaannya ketika memenangi satu pertandingan pembuatan tanjak, tahun lalu.

Siapa sangka impian Daniel Hakimi Mohd Rostam, 14, yang sebelum ini dianggap mustahil, akhirnya tercapai dan dia sendiri berpeluang menyerahkannya kepada Al-Sultan Abdullah ketika Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Hari Keputeraan Baginda pada 9 September lalu.

Lebih manis lagi, tarikh itu juga bersamaan hari lahir Daniel Hakimi dan dia menganggapnya sebagai hadiah paling bermakna untuk dikenang sampai bila-bila.

“Ketika itu, saya tidak boleh tidur kerana terlalu teruja untuk bertemu Agong tetapi dalam masa sama berdebar juga.

“Apabila melihat senyuman Agong dan Raja Permaisuri (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah), hati saya rasa lega.

“Lebih bermakna lagi apabila Agong tahu hari itu adalah ‘birthday’ (hari lahir) saya, terus baginda ucapkan ‘happy birthday’ sambil memeluk saya,” katanya ketika dihubungi di Kuantan.

Tanjak yang dihadiahkan Daniel Hakimi itu adalah jenis Tanjak Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan ia dihasilkan ketika memenangi Pertandingan Seni Lipatan Tengkolok YDPA sempena Karnival Pendidikan Khas peringkat Pahang pada Mei tahun lalu.

Ikon Autistik Pahang itu berkata, dia tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada tanjak berkenaan, sebaliknya mengekalkan lipatan dan jahitan asal.

Harian Metro sebelum ini pernah memaparkan berita mengenai keinginan Daniel Hakimi untuk menghadiahkan tanjak berkenaan kepada Agong.

Dia juga mempunyai kebolehan untuk menghasilkan pelbagai jenis tanjak antaranya tanjak Pahang, Helang Menyosong Angin dan Nakhoda Trong dengan hanya melihat gambarnya sahaja.

Sementara itu, ibunya, Norulhuda Md Daud, 36, berkata, tidak menyangka impian anak kedua daripada empat beradik itu tercapai.

“Sewaktu baginda (Al-Sultan Abdullah) berbual-bual dengan Abang Mi (nama panggilan Daniel Hakimi), baginda terkejut apabila dimaklumkan Abang Mi hanya mengambil masa 15 minit untuk menghasilkan tanjak berkenaan, baginda dan Tuanku Permaisuri kelihatan teruja.

“Sebagai ibu, saya gembira melihat senyuman di wajah Abang Mi, walaupun dia mungkin tidak sama seperti orang lain, namun dia tetap mempunyai kelebihan yang tersendiri,” katanya.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 6:09pm
d