mutakhir

JKM selamatkan kanak-kanak jaja buah potong

Oleh Nur Saliawati Salberi

“KAMI bukan polis mahu tangkap kanak-kanak ini, tetapi mahu menyelamatkan mereka.

“Tidak kira walaupun mereka lakukan (menjual) secara sukarela ia tetap salah,” itu tegas pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada wakil keluarga kanak-kanak yang didapati menjual buah potong di tempat tumpuan di bandar raya Melaka.

Operasi bersepadu dijalankan JKM Melaka Tengah bersama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), semalam bertujuan menyelamatkan kanak-kanak yang menjual tanpa pengawasan orang dewasa.

Jurucakap JKM berkata, operasi bersepadu sesi pertama bermula 11 pagi dan berakhir 3 petang itu berjaya mengesan dua kanak-kanak di pusat beli-belah di Taman Lagenda dan Bandar Hilir.

Menurutnya, ketika diselamatkan kanak-kanak berkenaan iaitu lelaki dan perempuan berusia 11 dan lapan tahun itu berada berseorangan.

“Kanak-kanak berkenaan diserahkan semula kepada ibu bapanya sebaik laporan polis dilakukan.

“Kali ini kita tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil ke atas ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 32 Akta Kanak-Kanak 2001.

Harian Metro 10 September melaporkan, bantuan JKM sudah diperoleh, tetapi segelintir ibu bapa hanya duduk di rumah menunggu rezeki anak kecil yang dibiarkan menjual buah potong di jalanan untuk membantu keluarga.

Itu sikap segelintir ibu bapa penerima bantuan JKM yang dikesan menggunakan kudrat anak yang masih bersekolah untuk menjaja buah potong.

Disiarkan pada: September 29, 2019 @ 6:15pm
d