mutakhir

Masa dah suntuk

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

LEBIH 600 pesawah di Utan Aji di sini, buntu apabila benih padi yang sepatutnya dibekalkan minggu lalu belum diperoleh.

Wakil kumpulan petani terbabit, Mokhtar Mansor, 68, berkata, kegusaran itu bertambah berikutan musim penanaman padi dijadualkan bermula 5 Oktober ini.

“Air bakal dilepaskan ke dalam sawah tidak lama lagi, tetapi bekalan benih di kawasan petani fasa dua ini belum kelihatan di gudang pembekal.

“Sepatutnya kami mula menyediakan benih antara tujuh ke 10 hari sebelum proses menabur dilakukan. Kami bimbang masalah ini boleh menjejaskan pesawah yang mengusahakan kira-kira 1,300 hektar sawah padi,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, Marzuki Din, 60, berkata, rakannya yang juga pesawah di kawasan fasa satu di Arau turut memaklumkan ada sebahagian petani belum menerima benih padi.

“Cuba bayangkan pengusaha di fasa satu masih ada yang belum menerima benih daripada pembekal, bagaimana pula dengan kami pengusaha di kawasan fasa dua ini.

“Saya berharap pihak berkaitan seperti Mada (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) dan Jabatan Pertanian melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian Perlis, Nurulhisham Yaakob ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia maklum perkara itu dan berusaha meneliti punca masalah berkenaan.

“Setakat ini, saya dimaklumkan pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani belum memberikan kuota tambahan kepada syarikat pembekal di seluruh negara sehingga beberapa negeri di utara Semenanjung lewat terima bekalan benih.

“Bagaimanapun, saya berharap pihak kementerian mempunyai pelan lain bagi mengatasi masalah ini memandangkan majoriti penduduk bergantung hidup dengan menanam padi,” katanya.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 6:05am
d