mutakhir

Pesuruhjaya Pas Perlis dah sedar

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PESURUHJAYA Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli yang rebah kerana serangan jantung ketika berucap di Ceramah Perdana Muafakat Nasional malam tadi, sudah sedarkan diri selepas satu jam menerima rawatan di Zon Merah, Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas 2 Perlis, Rus’sele Eizan ketika ditemui di Unit Kecemasan HTF, malam tadi.

Bagaimanapun katanya, Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang ditidurkan semula bagi memberinya ruang untuk berehat selain menjalani rawatan susulan di bahagian kepalanya.

“Pegawai perubatan sudah merawatnya dan membuat ujian pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) di kepala Ustaz Shukri.

“Pakar memaklumkan keadaan kepala dan jantungnya kembali normal, namun ujian pengimbasan akan dilakukan untuk kali kedua di kepalanya bagi memeriksa keadaan pembuluh darah,” katanya.

Rus’sele berkata, Mohd Shukri berkemungkinan mengalami kepenatan yang melampau sehingga keadaan kesihatannya merudum secara mengejut.

“Pagi tadi (semalam) dia menjemput Tok Guru Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan pada sebelah petang ada sedikit program bersama Tok Guru di Kompleks Pas Perlis.

“Ditambah pula dia baru pulih dari demam dan semalam (kelmarin) seharian dia menguruskan program dialog di Pusat Khidmat Kawasan Sanglang, jadi mungkin dia kepenatan,” katanya.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, tiga hari lalu Mohd Shukri ada mengadu kepadanya yang dia mengalami sakit perut yang teruk selain muntah akibat tersalah makan ketika menjalani aktiviti luar.

“Malah dia yang memandu kereta dan membawa saya ke Kompleks Pas Negeri untuk menghadiri program bersama Presiden Pas tengah hari tadi (semalam).

“Tiba-tiba malam tadi dia diserang sakit jantung untuk pertama kalinya, saya risau juga kerana ia berlaku secara tiba-tiba,” katanya.

Mohd Shukri kini masih dirawat di Zon Merah, Unit Kecemasan HTF dan ditemani isteri, Najwa Othman dan keluarga.

Turut hadir melawat Mohd Shukri di HTF, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Setiausaha Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Perlis, Abu Bakar Hamzah.

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini selepas terjatuh dan tidak sedarkan diri ketika berucap pada Ceramah Perdana Muafakat Nasional Peringkat Negeri Perlis di Dewan 2020.

Ketika majlis itu berlangsung pada 10 malam, Mohd Shukri sedang membacakan alu-aluan barisan kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas serta negeri sebelum secara tiba-tiba dia kelihatan sebak dan rebah.

Berita berkaitan

Pesuruhjaya PAS Perlis rebah ketika berucap

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 9:08am
d