mutakhir

Tampillah untuk petunjuk baharu kes Adib

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

ORANG ramai yang mempunyai maklumat berhubung rusuhan yang menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim perlu tampil bagi membantu polis mendapatkan petunjuk baharu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, maklumat itu penting untuk membolehkan pihaknya mengesan individu menyebabkan kematian Muhammad Adib.

“Susulan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September lalu bahawa kecederaan yang membawa kematian Adib akibat dipukul, maka polis kini memerlukan maklumat untuk mengesan suspek berkemungkinan.

“Buat masa ini, belum ada lagi bukti tambahan dan siasatan sedang berjalan, namun belum ada lagi saksi baru yang tampil atau dipanggil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, siasatan kes itu tidak pernah ditutup dan kekal disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, polis juga masih menunggu arahan lanjut Pejabat Peguam Negara susulan keputusan Mahkamah Koroner itu.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Prosiding inkues kematiannya berlangsung selama 41 hari bermula 11 Februari lalu dan keputusan pada 27 September memutuskan, kematiannya disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang tidak dikenali.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 12:24pm
d