mutakhir

Lebihan wang untuk diseleweng Jho Low

Oleh Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa lebihan wang bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holding Sdn Bhd (TEHSB) adalah untuk diseleweng ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Menurut Shahrol, pengambilalihan TEHSB selesai melalui pembiayaan menggunakan pinjaman jangka masa pendek (bridging loan) berjumlah RM6.17 bilion dan terbitan bon berjumlah AS$1.75 bilion.

Beliau berkata demikian ketika dirujuk kepada dokumen minit mesyuarat ‘1Malaysia Development Berhad Board Meeting Minutes’ bertarikh 18 Jun 2012 oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Shahrol berkata, berdasarkan minit mesyuarat itu beliau membentangkan transaksi pengambilalihan 100 peratus ekuiti TEHSB sudah pun selesai.

“Antara maklumat penting, Pengerusi TEHSB adalah Datuk Wan Ahmad Shihab yang juga pegawai khas Najib ketika itu. Namanya dimajukan oleh Jho Low kepada saya. Selain itu nama Ketua Pegawai Eksekutif Aabar Investments PJS (Aabar), Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny juga salah seorang seorang pengarah dalam TEHSB.

“Ini adalah satu lagi faktor ketika itu yang meyakinkan saya akan kesahihah hubungan 1MDB dengan International Petroleum Investment Company (IPIC)/ Aabar Investments PJS (Aabar),” katanya.

Menurutnya, terdapat lebihan yang banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan itu.

“Namun saya ingin tegaskan bahawa saya langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit sekuriti berjumlah AS$576,943,490 kepada Aabar itu adalah untuk diseleweng.

“Ia dibuat berdasarkan dokumen disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB), Terence Geh (Ahli Lembaga Pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs (Asia),” katanya.

Shahrol berkata, beliau pasti tidak meluluskan penghantaran wang itu sekiranya mengetahui bahawa ia untuk diseleweng.

“Selepas penyiasatan dilakukan barulah saya tahu bahawa deposit sekuriti ini diaturkan oleh Jho Low.

“Ia dibuat untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah sedang berjalan.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 12:42pm
d