mutakhir

Budak koma sembilan bulan

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

PADA usianya dua tahun, doktor mengesahkan dia menghidap hydrocephalus atau lebihan cecair dalam otak dan deritanya berterusan apabila diserang cacar air hingga menyebabkan jangkitan kuman.

Komplikasi demi komplikasi itu menyebabkan Annisa Dhia Zara Kasmuri, 4, kini koma dan tiada lagi keletah cerianya melayani keluarga.

Ibunya, Zarina Ibrahim, 43, berkata, sudah sembilan bulan anak bongsu daripada tiga beradik itu terlantar tidak sedarkan diri.

“Awal tahun lalu, dia dijangkiti cacar air selama dua minggu. Saya dan suami (Kamsuri Ahmad, 47) bawanya ke klinik dan beri ubat untuk makan dan ubat sapu.

“Dalam tempoh itu, keadaannya baik, dia aktif dan ceria seperti biasa. Namun, selepas cacar airnya kering, anak berubah tidak bermaya dan kami bawanya ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk rawatan.

“Ketika di hospital, dia diserang sawan dan tidak sedarkan diri. Pihak hospital merujuknya ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian untuk bantuan pakar.

“Doktor sudah merawat dan mencuba sebaik mungkin, namun sudah takdir Allah SWT menentukan dia koma sehingga kini,” katanya yang tinggal di Kampung Baru Kuala Pertang, Kuala Krai.

Dia yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, luluh hatinya melihat anak tersayang yang dahulunya ceria dan petah berkata-kata kini terbaring sepi.

Katanya, ketika dia dan suaminya keluar bekerja, Annisa Dhia Zara akan dijaga ibunya, Kasmah Yakob, 63, yang turut tinggal bersama untuk membantu meringankan bebannya.

Menurutnya, setiap tiga jam dia akan pulang ke rumah untuk memberi anaknya susu dan sangat bersyukur majikan memahami kesulitan dihadapinya.

Zarina terpaksa bekerja untuk meringankan beban keluarga memandangkan kos untuk anak itu melebihi RM500 sebulan bagi membeli susu khas dan lampin pakai buang.

Keluarga itu menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sejak April lalu.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Maybank 1530 2935 2779 atas nama Zarina Ibrahim.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 3:17pm
d