mutakhir

Jho Low kata boss akan 'bulldoze' semua - Saksi

Oleh Murni Wan Omar dan Sarah Zulkifli

AHLI perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho memberitahu Datuk Seri Najib Razak boleh mendapatkan surat sokongan Kementerian Kewangan dengan segera bagi projek usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS Ltd.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, Jho Low sendiri memberitahu kepadanya ‘boss will bulldoze, don’t worry’.

Menurut Shahrol, Jho Low memberikan jaminan itu selepas beliau mempersoal sama ada Kementerian Kewangan mampu mengeluarkan surat sokongan bagi suntikan dana berjumlah AS$3 bilion (RM12.6 bilion) dalam masa yang amat singkat seperti yang dirancang.

“Saya dan Jho Low pernah membuat perbincangan berhubung cadangan Dana Perolehan Strategic Acquisition berkenaan pada satu tarikh yang tidak dapat diingati.

“Ketika itu, Jho Low memberitahu saya bahawa ‘boss akan langgar semua (bulldoze), jangan risau’ yang bermaksud Datuk Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu akan memastikan surat sokongan ini akan dikeluarkan dalam masa cepat,” katanya.

Beliau memberi reaksi itu ketika dirujuk kepada dokumen surat daripadanya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertajuk ‘Strategik Acquisition Fund Between 1MDB dan Aabar Investment PJS Ltd’ bertarikh 15 Januari 2013 oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Menurutnya, justeru beliau yakin dan percaya dengan apa yang Jho Low maklumkan kepadanya berikutan apa diberitahu itu sejajar dengan apa yang berlaku.

“Semuanya yang diatur oleh Jho Low sememangnya berlaku bahawa Najib juga mahu perkara sama disegerakan,” katanya.

Saksi kesembilan dan juga saksi penting pendakwaan itu berkata, terdahulu, beliau menghantar surat kepada Najib yang oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dengan isi kandungannya seperti yang digariskan Jho Low dalam pelan perancangan dihantar melalui e-mel secara sulit kepadanya.

“Surat ini sengaja diarahkan oleh Jho Low kerana ingin nampak proses kerja yang tercetus adalah daripada CEO dan bukannya Najib.

“Cadangan jumlah dana usaha sama iaitu AS$6 bilion (RM25.1 bilion) ini juga adalah datangnya daripada Jho Low,” katanya yang memaklumkan tujuan surat itu dihantar kepada Najib adalah kerana Jho Low ingin mendapatkan sokongan kewangan daripada pihak Kementerian Kewangan untuk disuntik ke dalam usaha sama ini.

Menurut saksi sama, disebabkan itu, Najib membuat catatan minit untuk tindakan Kementerian Kewangan sekali gus mengeluarkan ‘Letter of Support’ (Surat Sokongan) bagi menjamin terbitan bon AS$3 bilion (RM12.6 bilion).

“Najib terus minta kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) supaya mengambil tindakan segera pada hari sama saya tanda tangan surat itu.

“Perkara ini jelas menunjukkan Najib mahu hal ini diuruskan dengan segera memandangkan selepas sahaja saya tandatangan,” katanya.

Shahrol berkata, perjanjian usaha sama antara Aabar Investments PJS dan 1MDB ditandatangani pada 12 Mac 2013 dan semua urusan surat sokongan bagi perjanjian usaha sama itu dikendalikan oleh Jasmine.

Saksi itu juga memaklumkan bahawa Jho Low adalah individu yang mengatur sejak awal lagi untuk pihak Najib bagi dana usaha sama dengan Aabar disokong oleh surat sokongan.

“Malah, Jho Low maklumkan kepada saya pihak 1MDB tidak perlu risau kerana Najib akan ‘uruskan’ menggunakan kuasa beliau bagi memastikan surat sokongan ini dikeluarkan.

“Surat sokongan itu dikeluarkan secara tergesa-gesa dalam tempoh yang sangat singkat, selain sesuatu yang sangat ketara kerana tanpa campur tangan secara langsung dari Menteri Kewangan adalah mustahil surat sokongan ini dikeluarkan dalam masa sebegitu singkat,” katanya.

Prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Disiarkan pada: September 30, 2019 @ 6:55pm
d