mutakhir

7 individu dipanggil polis, tak hormat 'Negaraku' [METROTV]

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad

TUJUH individu yang juga ahli ‘Sarawak for Sarawakians’ (S4S) dipanggil memberi keterangan, semalam, selepas polis menerima laporan berkenaan tindakan mereka tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika ‘Negaraku’ dimainkan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, sehingga kini, satu laporan polis diterima membabitkan hal berkenaan.

“Berdasarkan laporan ini, polis sudah memulakan siasatan mengikut Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968. Mereka dipanggil memberi keterangan susulan enggan berdiri bagi menghormati lagu kebangsaan.

“Tindakan berkenaan dilakukan dalam satu majlis di sebuah hotel di bandar raya ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam akta berkenaan, pelaku boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih sebulan, kerana tidak berdiri ketika lagu kebangsaan dimainkan.

Pada Jumaat lalu, video sekumpulan lapan individu dipercayai ahli S4S atau penyokong S4S tular kerana sekadar duduk ketika lagu kebangsaan berkumandang, dalam majlis mencari dana membabitkan satu parti politik tempatan.

Difahamkan, tindakan berkenaan dibuat sebagai membantah keputusan Kerajaan Persekutuan terutama dalam isu pemberian royalti minyak 20 peratus kepada negeri ini yang dilihat tidak mampu dilaksanakan.

Berita berkaitan

Padah jika tak hormat lagu Negaraku

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 1:11am
d