mutakhir

Rezeki 10km

Oleh Nazri Abu Bakar

MENGAYUH basikal sejauh 10 kilometer setiap hari semata-mata untuk menjual tin kosong sudah menjadi lumrah hidup bagi warga emas, Mohd Sharip Aton, 73, dalam usahanya mencari rezeki halal.

Membawa puluhan tin kosong yang diletakkan di dalam bekas plastik di tempat duduk belakang basikal kesayangannya, warga emas itu sudah biasa mengayuh basikal dari rumahnya di Kampung Alai ke pusat jualan di bandar raya Melaka.

Namun katanya, dia tetap berhati-hati mengayuh basikal memandangkan jumlah kenderaan yang semakin banyak serta laluan jalan agak sempit.

“Kebiasaannya, saya menggunakan laluan di Kampung Kandang, Padang Temu, Tambak Sebelong, melalui Semabok sebelum sampai ke lokasi untuk jualan terbabit.

“Dalam perjalanan, saya akan berhenti sekiranya ternampak tin kosong yang boleh dijual,” katanya ketika ditemui wartawan NSTP di rumahnya di Kampung Alai, di sini, semalam.

Katanya, walaupun hanya memperoleh RM5 hingga RM6 bagi hasil jualan tin setiap hari, dia tetap bersyukur kerana masih dapat mencari rezeki yang halal.

Tidak hanya mencuri tumpuan bagi kerja mengumpul tin, basikal milik warga emas ini juga menarik perhatian umum berikutan beliau menggantung nombor plat berbeza pada bahagian depan dan belakang basikal.

“Ia (nombor plat) sekadar hiasan memandangkan kedua-dua nombor plat yang berbeza ini saya temui ketika mencari tin.

“Nombor plat ini tiada sebarang makna, cuma sekadar hiasan,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2019 @ 6:15am
d